Khamis, 27 Mei 2010

Orang ramai lega benteng guni berpasir dibina

Benteng guni berpasir menyelamat satu kilometer jalan yang hampir roboh dihakis ombak

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

SURA: Orang ramai lega dengan kerja pembinaan benteng oleh Jabatan Parit dan Saliran di pesisir Pantai Teluk Lipat sepanjang satu kilometer bermula dari hadapan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah sehingga simpang ke Sekolah IMTIAZ setelah sebahagian bahu jalan sepanjang satu kilometer di kawasan itu roboh dihakis ombak.

Tinjauan Edisi Timur mendapati kerja-kerja membenteng dengan guni berpasir di kawasan itu yang mengalami hakisan teruk di musim tengkujuh 2009 bermula awal Mei lalu dan dijangka siap pertengahan Jun nanti.

Edisi Timur sebelum ini menyiarkan rungutan orang ramai yang meminta pihak JPS mengambil tindakan segera menambah benteng ombak bagi menyelamat bahu jalan sepanjang 1 kilometer bermula dari hadapan Taman Selera hingga ke Simpang IMTIAZ yang terhakis teruk dan pokok rhu yang membarisi sepanjang pantai daripada tumbang.

Akibat hakisan yang berterusan sebahagian bahu jalan roboh yang turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motorsikal.